Home Novel Cinta JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
JOM KAWEN SEMULA [REVAMP]
painarena
10/1/2022 02:07:29
158,180
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

ATAS cadangan Maya, majlis hari jadi Ami yang ke-14 disambut di Vila Orked. Majlis ringkas itu bertukar meriah bahana kehadiran keluarga kakak Umar yang sudi melangkau benua dari London sebab tengah bercuti.

“Raya awal ke tahun ni...” luah Umar bersama senyuman puas bila melihat kehadiran keluarga besarnya yang memenuhi ruang tamu utama Vila Orked.

“Ya Allah! Bulatnya kau Mar! Kau nak lawan Bang Farid kau ke?” ujar Batrisya sambil merapati adik bongsunya itu. Mujur 180cm orangnya, jadi lelaki berjambang itu tidak nampak gendut melainkan besar macam beruang. Terus si kakak memeluk dan memberi cium ke pipi si adik tanda rindunya dia. Kemudian ciuman diturunkan ke kepala Ami yang berdiri di sebelah Umar. Direnung anak dara berambut panjang melepasi punggung itu buat beberapa ketika. “Budak ni betul-betul ambik genetik kau berbanding Aqi...” Serba serbi! Hanya jantina yang ikut emaknya.

“Ni ha, wife Mar yang akak kena acknowledge berbanding sembang pasal Aqi lepas ni,” ujarnya sambil memperkenalkan Mimi yang turut berdiri di sebelah.

Ciri-ciri yang paling mudah untuk dikenali pada Mimi ialah rambut pendek di paras tengkuk itu. Tingginya hanya di paras bahu Umar, tubuhnya ramping kerana berlemak di lokasi yang betul, serta wajahnya manis selayaknya seorang wanita melayu. Dan seluruh keluarga Umar tahu yang Mimi tak rapat dengan anak tirinya sendiri.

Adik iparnya itu diberi peluk ringkas sebelum dijemput kemeja makan. Umar duduk di sebelah abangnya, Farid, sambil menepuk perut masing-masing yang semakin memboyot berbanding isteri masing-masing. Mimi pula mendekati isteri Farid yang sedang menyiapkan makanan di dapur.

“Mana Junior?” soal Batrisya pula sambil mengambil tempat duduk di tengah-tengah abang dan adik lelakinya. Namun masing-masing tiada jawapan.

Munirah yang kebetulan berada di ruang tamu itu, menjawab bagi pihak ayahnya. "Jun cakap dia ada surprise gift, so dia lambat sikit."

“Aku harap surprise dia cukup untuk cover dosa dia sebab lambat datang ke majlis aku,” desis Ami sambil menghentak penumbuk ke tangan sendiri.

Si bapak menjeling. “Tak payahlah garang sangat...”

“Muka macam kau, tapi perangai macam Aqi...” komen Batrisya lagi.

“Berhenti cakap pasal Aqi, boleh tak? Mar ada wife lain sekarang!!” Suara Umar automatik naik satu oktaf, mengejutkan mereka semua di ruang tamu itu. Si kakak yang menerima habuan itu menjadi tercengang.

 “Mudah sangat sentap bila cakap pasal janda kau, dah kenapa?” getusnya, sekadar komen retorik tanpa mengharapkan jawapan.

“Aqi isu sensitif kat telinga dia. Takkan kau tak tahu. Bagi dia masa untuk healing, Bat...” balas Farid pula, membuat wanita itu mencebirkan bibirnya. Adik lelakinya itu pula melarikan diri ke sofa single, menyesali emosi yang terlepas keluar.

Melihat reaksi si adik lelaki, Batrisya menghela keluh dalam. Walaupun selama ini dia jauh di negara atas angin, dia juga dah diberi maklum apa yang berlaku pada adik lelakinya itu selama ini. Bersama keluh, si adik dirapati.

“Akak minta maaf...”

Push up 100 dulu.”

Belakang kepala Umar ditepuk ringan. “Tapi kau perlu faham satu benda juga, Mar. Peranan Aq—peranan janda kau yang selfish tu bukan sebagai wife kau je, tapi dia keluarga kita. Adik angkat akak. Part of my life has her in it. I’m allowed to miss her, yes?” pintanya pula sambil menggosok bahu si adik.

Farid merenung keduanya. Umar pula mematung macam tiada emosi hingga membuat Batrisya geram lagi.

“Kau dengar tak?!” getus si kakak sambil memicit pipi adiknya.

“Aaack! Ye! Mar dengar!” Lekas pipi ditarik semula. Digosok bersama dengus. “Akak pergi la rindu dia jauh-jauh. Tak payah sebut-sebut depan Mar!”

“Hah! Kalau tiba-tiba dia muncul depan kau, padan muka!”

Umar tidak sempat membalas bila tiba-tiba anak perempuannya menjerit. Serentak orang-orang dewasa itu menoleh pada birthday girl di tengah ruang.

“Kau bawak dia buat apa!?” jerit Ami pada abang sepupunya. 

Junior tengah menarik seorang remaja lelaki yang tidak dikenali memasuki rumah, dan nampaknya tetamu itulah yang menjadi faktor kemarahan Ami. Tetamu itu ialah Emir Danial, kawan baru Junior merangkap pelajar baru di kelas Ami yang sengaja mencari gaduh dengannya sejak awal pertemuan.

“Dia nak tengok rumah aku, aku bawak la,” bidas Junior pula.

Ami mendengus sambil merapati kedua-dua pemuda itu. “Dia surprise yang kau cakap nak beri kat aku?” getusnya sambil mencerlangkan matanya.

Junior pula menyengih. “Surprise aku ialah maklumat yang dia bawa. Ha, uncle pun ada!” ujar Junior bila melihat Umar. Leher rakannya dicangkuk dan ditarik ke ruang tamu utama.

“Tak payahlah tarik aku macam ni!” dengus Emir, lekas melepaskan diri.

“Weh! Kau tak cakap lagi kenapa kau datang!” Ami menyalak lagi, membuat remaja lelaki itu menoleh.

“Aku bukan datang sebab nak sambut birthday kau! Aku nak tengok Vila Orked je!”

“Kenapa nak tengok rumah kitorang?” tegur Munirah pula.

Personal reasons. Tapi bukannya aku nak sangat datang. Junior yang trick aku...” Kepala dipalingkan ke arah semua orang dewasa yang berada di situ. Setiap wajah mereka diteliti, dan anak matanya mendarat ke arah Umar. Untuk beberapa ketika, tumpuan pandangannya langsung tidak beralih.

“Kawan Junior?” tegur Maya bersama senyum. Semua kawan-kawan anaknya dijemput datang ke rumah asalkan elok perangai.

“Bila masa pula korang berkawan? Selama ni bukan main lagi bergaduh berebutkan Ami!” soal Munirah pelik.

“Banyak cekadak aku nak rebutkan gorila betina tu!”

“Kurang ajar panggil orang gorila!”

“Habis nak panggil kau apa? Perempuan bodoh?”

“HEI!!” Kolar baju pemuda itu terus dicekak dan ditarik ke mukanya. Emir masih dengan muka tegang, menentang si remaja perempuan tanpa goyah. Bahang gaduh yang semua orang boleh rasai.

Junior baru saja nak menenangkan keduanya bila Umar terlebih dahulu bergerak ke arah dua remaja itu.

“Ami... Ami...cool down. Jangan berkasar macam samseng.”

“Dia panggil Ami bodoh!”

“Aku boleh panggil kau lebih teruk dari tu, gorila bodoh!”

Hampir saja Emir dicekik, tetapi Umar terlebih dahulu mencekak belakang kolar anak perempuannya dan ditarik supaya menjauh. Menyelamatkan Emir dari baran anaknya. Kemudian pemuda yang membetulkan letak kolarnya itu dipandang.

“Kau pula janganlah provok anak uncle...” keluhUmar pula. Jantung berdetak bila pemuda itu menjeling padanya. Agak terkejut dengan warna mata hazelnya, dan lebih terkejut lagi bila wajah Aqi melayang ke fikiran.Lekas ditepis. “Nama siapa, ye? First time Junior bawa kawan dia datang rumah...” sambungnya lagi bersama senyum.

Lalu si pemuda menggaru tengkuk yang tak gatal. “Saya Emir....Emir Danial...”

“Emir Danial,” ulang Umar. Kemudian anak perempuannya dipandang. Nama anaknya Ami Dania. Diteliti nama yang agak serupa tapi berbeza itu. Ketinggian Ami dan Emir hampir sama. Mungkin sebab mereka sama-sama masih awal remaja. Suaranya juga masih kebudak-budakan. Warna anak mata mereka sama, bentuk muka sama, serta lebat rambut mereka juga sama.

Pemuda itu sama iras dengannya.

Jantung terus berdebar tanpa kawalan. Nalurinya mengesan sesuatu, tetapi akalnya tak mampu memberi dirinya sendiri the benefit of the doubt. Dia mahu bertanya siapa ayahnya, siapa ibunya, dan siapa remaja itu dengan lebih lanjut. Tetapi tiada suara yang meniti di lidah.

Melihat sesi perkenalan diri itu termati sendiri, Juniormerapat. “Uncle tanyalah nama ayah Emir.”

“Umar Darius. Nama ayah saya ialah Umar Darius...” balas Emir terus sambil mencerun pada Junior yang tersengih kambing.

Semua insan yang berada di ruang tamu itu terkedu. Masing-masing keliru. Malah hening sekali, meninggalkan bunyi detikan jam bagi memecahkan sepi yang tercipta. Emir spontan mengusap tengkuk, nak membuang janggal yang dirasai. 

Belakangnya tiba-tiba ditepuk Junior. Emir menjeling, melihat abang sepupunya memberi senyum dan moral support.  Dihargai usaha si abang sepupu, dan disahut cabarannya macam lelaki tulen. Tekak didehem, lalu anak mata ayahnya ditentang dengan nafas tenang. Junior mungkin bangang sebab menyibuk dalam urusan hidupnya, tetapi dia juga dah lama bersedia untuk menghadap momen ini. Dengan nafas pendek, dia menyambung, “My full legal name is Emir Danial bin Umar Darius.... I'm your long lost son... born in Munich and raised all over the world... and now I'm here with ma...”

Ice Age kini melanda isi rumah vila.

Giliran Ami membatu macam ayahnya. Tempat lahir itu sama dengannya. Kemudian ayahnya dipandang. Dah bertukar jadi batu macam disihir. Kemudian remaja lelaki yang gemar mengganggunya di sekolah itu dipandang bersama debar.

“U-Umar Darius yang mana?” soalnya, sekaligus mengejutkan yang lain lagi.

Emir menoleh. “Ada lebih dari satu ke?”

“Umar Darius bukan seorang kat dunia ni. Si Gorius anak aunty Mimi pun bernama Umar Darius walaupun perangai serupa setan. Lagipun, tak mungkin ayah ada seorang lagi anak. Entah-entah kau anak pungut.”

Mendengus si pemuda dibuatnya. “Ma yang cakap nama bapak aku Umar Darius. Aku tak tau detail lebih... jap, aku tanya ma.” iPhone ditarik keluar.

“Wha—” Umar dan Ami sama-sama gamam. Bila Emir mengangkat iPhone ke telinga, Umar tiba-tiba menemui suaranya. “B-buka spea-spea-speaker...”

Emir menurut, manakala Umar dan Ami bertukar jeling. Masing-masing tak tahu apa yang masing-masing tengah fikir, tapi yang pasti, mereka sama-sama berdebar macam gila!

Tiga kali dering, panggilan bersambung. Emir terus bertanya, “Ma, nama atuk apa?”

“Nama atuk kau? Kau tak tahu nama arwah yang dah susahkan kau sepanjang kau hidup?”

Darah Umar berderau terus bila mendengar suara yang sangat dikenali itu, malah sangat dekat dengan hatinya. Terasa mimpinya selama 12 tahun ini semakin menghampiri realiti. Malah, suara itu turut memanggil yang lain untuk datang merapat.

“Bukan yang tu. Nama atuk yang dibinkan dekat nama ayah. Nama penuh ayah Emir...”

“Nama penuh bapak kau Umar Darius bin Ismail. Kenapa tiba-tiba tanya ni?”

Sahih sangat. Tahap sahih dan terlalu mengejut macam mendengar berita kerajaan zalim dah jatuh. Gembira dan takut bercampur aduk.

“Ami cakap entah-entah Emir anak pungut...” Muka merah ayahnya dikerling.

Mengucap panjang si emak di talian. “Kau anak kandung bapak kau! Kau dengan Ami sama-sama keluar dari perut ma—kejap, kau bercakap dengan Ami? Sekarang ke?”

Emir merenung reaksi adiknya pula, tetapi Ami tetap membatu bersama bibir digigit, seperti nak menguatkan hati. “Ha’ah.”

I see. Kau dah berbaik dengan dia ke?”

“Kiamat dulu.”

“Hahahha. Janganlah drama sangat. Kau tu abang, jadi buat perangai macam abang. Ma tengah beli grocery untuk birthday kau ni. Bawa la dia balik untuk makan malam... kalau dia nak, lah...”

“Ami nak!!” jerit si gadis itu terus.

Mereka semua terperanjat, termasuklah Aqi di talian.

“Emir Danial... am I on speaker?”

Yes.”

“Bertuah...” Diam seketika. “Ami? You there? Kau sihat?”

Diam. Bibir terus digigit bagi menahan tangis. Selama ini emaknya ada… dan menjaga seorang lagi anak yang tidak diketahui… yang bukan dia? Kenapa mereka diasingkan? Kenapa dia perlu melihat ayahnya menunggu sampai hatinya luka berdarah hingga terpaksa menikahi perempuan lain? Kenapa dia ditinggalkan—

“Ami? Kenapa senyap ni? Hello?” soal Aqi lagi.

“Dia nangis,” jawab Emir.

Right...” Senyap lagi. Agak lama kali ini. “A-ayah kau macammana? Kau dah jumpa dia?”

Emir melangut spontan. Sekali lagi Umar berdebar seperti pecutan kuda perang. Yang lain terus merenung dan memerhati.

“Dia pun ada depan Emir ni ha.” Si anak memilih berterus terang, tetapi langsung tak dijangka talian diputuskan insan di sebelah. Emir mengerutkan dahi pada iPhone. “Ma?”

Teeeet...

Sunyi sepi yang menelan ruang vila ketika ini boleh menyaingi suasana sepi di bulan. Masing-masing fokus melihat remaja itu melopong pada iPhone sebelum disumbat ke dalam jeans. Emir melangut pada Umar kembali.

“Ma lari lagi...” luahnya bersama senyum janggal.

“Lagi?”

Angguk. “Kami dah berjiran dengan ayah sebulan lebih,tapi ma masih tak ready nak jumpa ayah...” ujarnya, berterus terang hal sebenar. Terlalu lambat menunggu emaknya, dia bertindak dulu. Kemudian Ami pula dipandang. “Kau pula dah pernah jumpa ma masa aku mula-mula masuk sekolah. Tapi kau tak cam dia.”

Batrisya dan Farid berpandangan, manakala Mimi merenung wajah suaminya yang bertukar merah tegang. Tidak pasti sejauh mana rasa terkejut di hati Umar ketika ini, tetapi mungkin sama dengan perasaan anak perempuannya yang jauh lebih ekspresif dan impulsif.

Ami membengis bersama mata berair. Tanpa amaran, Emir ditolak sekuat hati. Remaja lelaki itu terjatuh ke lantai. Umar tidak sempat menghalang bila pergerakan Ami jauh lebih tangkas dan terus menyerang. Dada Emir ditekan dengan kaki supaya terus terbaring di lantai.

“Kau tipu!!” jerkahnya.

Itulah sifat yang diwarisi dari si ayah, sifat itu juga turun pada anak lelaki. Giliran Emir membengis. Pemuda itu menendang pelipat lutut Ami hingga gadis itu terjatuh melutut. Keras sekali jatuhnya hingga menjemput jerit dari penonton wanita. Emir bertapak dengan satu kaki. Hatinya membara marak kini.

“Kau dah kenapa!!” pekik Emir, benar-benar bengang kali ini.

“Kau ingat aku tiba-tiba nak percaya bila kau cakap kau abang aku?!” Ami menyerang lagi hingga pemuda itu terjatuh lagi. Emir ditendang supaya meniarap. Kedua belah tangan lelaki itu dilipat ke belakang sebelum ditekan dengan lututnya, mengunci pergerakan Emir supaya tidak bergerak dan tidak mampu menyerang balas.

“Ami! Lepaskan aku!!” jerit remaja itu.

“Ami! Lepaskan dia!” jerit Umar pula.

Namun si gadis baran tak peduli dengan tumpuan penonton. Hatinya terlalu diasak amarah.

“Kalau betul kau abang aku dan kau duduk dengan ma selama ni, kenapa kau tak pernah balik ke rumah! Kenapa perlu stalk IG aku macam orang gila! Buat kawan dengan Junior, kacau hidup aku kat sekolah! Kenapa kau tak terus terang dekat DM je dan beri aku masa untuk hadam berbanding redah rumah orang macam ni! Kenapa ma tinggalkan kitorang?!!” Soalan terakhir dipekik sekuat hati sekuat suara bersama tangisan lebat. Lutut ditekan sekuatnya hingga Emir mengerang sakit.

“Ami! Berhenti! Apa benda kau buat ni la haii…” keluh Umar, akhirnya menemui rohnya dan terus mendekat nak menghalang pergaduhan anak-anaknya.

“Ma tak berani jumpa korang! Dia tahu ayah marah! Dia tahu kau pun marah walaupun kau announce dalam Instagram sampai seluruh Malaysia tahu yang kau nak dia balik! Macammana kau expect dia boleh hadap muka korang sedangkan dia tinggalkan kau dengan ayah bertahun-tahun!” Muka dipaling ke belakang, pada Ami yang duduk di belakangnya, dan pada Umar yang entah bila, juga berdiri di belakang. Emir melepas dengus berapi. “Kami baru sampai Melaka bulan lepas. Ma masih prepare mental dia tapi lebih kecut berbanding berani. Benda dah kantoi macam ni, takkan aku nak terus diam!! Kalau kau taknak percaya, cakap elok-elok dahlah!! Aku boleh bawa ma pergi dari sini dan jauh dari kau sampai kami mati!! Aku takkan biar ma sengsara lagi!!” jerkahnya lagi hingga terpercik liur.

Umar menarik belakang kolar baju Ami supaya bangun, sekaligus melepaskan Emir. Pemuda itu bangkit duduk sambil mengurut bahu dan siku yang rasa macam nak patah. Bila Umar menghulur tangan, ditepisnya. Kasar sekali. Lalu lelaki tinggi itu mencangkung supaya paras mata mereka sama.

“Aqi... dia kat mana sekarang?”

“Siapa Aqi?” soal Emir kembali sambil menggosok bahu yang terasa sengal.

“Ma kau ialah Aqi... kan?” sampuk Mimi setelah mendiam dari tadi.

Emir menoleh pada wanita cantik itu, lalu menggelengkankepala. “Ma saya Asyikin. Kawan-kawan dia panggil dia Ekin.”

“Aha... dekat sini, kami panggil dia Aqi,” balas Batrisya pula.

Berkerut dahi Emir lalu. “Ma tak pernah dipanggil Aqi oleh sesiapa... tapi ma buat kawan dengan Kuro dengan Aki sebab nama Aqi tu.” Senada berceloteh sambil mengurut bahu. Tiba-tiba teringat. “Rasanya dulu Uncle Zach pernah panggil ma dengan nama Aqi…” Mata dikerling ke kanan, mengorek memori tersebut.

“Zach? Ilyas Zachary maksud kau?” sampuk Farid pula.

“Ya…”

“Ayah kenal?” soal Junior pada ayahnya.

“Ilyas Zachary ialah abang tiri Aqi, merangkap bapak saudara Ami. Dia orang German,” sambut Batrisya, kali ini dengan wajah yang ceria. Pintu rumah yang tengah terbuka luas kini dipandang dengan mata bercahaya. Aqi benar-benar ada di luar sana, dan pada jarak yang mereka boleh capai!

“Kacukan German,” jelas Emir kembali. Bila dia nak bangun, Umar membantunya. “Uncle Zach yang jaga Emir sejak kecil. Ikut dia berpindah randah sampailah Emir mendarat ke Malaysia.”

Umar mengangguk ringan. Ami pula berpeluk tubuh, masih cuba menghadam berita asing itu. Masih berbolak balik samada nak percaya atau tidak. Emir pula merenung setiap wajah yang berada di situ sebelum berhenti pada wajah ayah dan adik perempuannya.

“So? Nak ikut Emir jumpa ma?”

Anak beranak itu berpandangan.
Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh painarena